http://dapmalaysia.org  

Menyeru semua Parlimen dan Ahli-ahli Parlimen ASEAN, khasnya dari lima Negara anggota pengasas iaitu Indonesia, Filipina, Negeri Thai, Singapura dan Malaysia , supaya merangka satu pendirian parliamen ASEAN yang kuat supaya Myanmar tidak diberi peluang mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN dalam tahun 2006 tanpa membebaskan Augn Sann Suu Kyi serta lain-lain tahanan politik  di samping melaksanakan pendemokrasian yang bermakna terdahulu


Ucapan  (9)
-
semasa menyertai perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong 
oleh
Lim Kit Siang

(Dewan Rakyat, Khamis): Parlimen Malaysia telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana satu usul di atas nama Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia Mengenai Demokrasi di Myanmar, Datuk Mohd Zaid bin Ibrahim (kota Bharu), yang juga merupakan Pengerusi Kaukus Myanmar Antara-Parlimen ASEAN (AIPMC) telah dikemukakan kepada mesyuarat Parlimen kali ini bahawa Myanmar tidak harus diberi peluang mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN dalam tahun 2006, melainkan ujudnya pendemokrasian yang bermakna di Myanmar, termasuk pembebasan ketua pembangkang dan pemenang anugerah Kebebasan Nobel Aung San Suu Kyi serta lain-lain tahanan politik. 

Masa telah sampai untuk semua Parlimen ASEAN serta ahli-ahli parlimennya , khasnya dari lima Negara anggota pengasas iaitu Indonesia, Filipina, Negeri Thai, Singapura dan Malaysia,  supaya  kepimpinan antarabangsa dan serantau atas isu demokrasi di Myanmar dengan merangka satu pendirian kuat bersama semua Parlimen ASEAN supaya Myanmar tidak diberi peluang mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN dalam tahun 2006 sekiranya junta tentera Myanmar tidak bersedia untuk menunaikan janji-janji serta obligasi-obligasi kemasukannya ke dalam ASEAN dalam tahun 1997, iaitu membebaskan Augn Sann Suu Kyi serta lain-lain tahanana politik  dan  melaksanakan pendemokrasian yang bermakna terdahulu. 

Dalam lapan tahun yang lepas, ASEAN tidak dapat menunjukkan apa-apa hasil menerusi dasar “constructive engagement”nya terhadap junta tentera Myanmar yang merupakan alasan yang digunakan untuk menerima masuk Myanmar ke dalam badan serantau ini. Junta tentera Myanmar telah memungkiri janji-janji yang dibuatnya selama ini, samada janji kepada Pertubuhan Bangsa-bangs Bersatu, Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), ASEAN, pendapat masyarakat antarabangsa dan serantau, mengenai usaha pendamaian nasional serta pendemokrasiannya demi mengakhiri kebuntuan politik di Myanmar. 

Aung San Suu Kyi kini masih berada di bawah tahanan hampir dua tahun selepas Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN yang diadakan di Phomh Pehn dalam bulan Jun 2003 yang menyeru supaya beliau dibebaskan, dan telah dijanjikan oeh Menteri Luar Myanmar masa itu, Wing Aun.  

Persidangan Perlembagaan Nasional yang banyak kali ditangguhkan dan akhirnya diadakan semula pada hujung bulan lepas di Yangon, dan yang dihuraikan sebagai “mungkin suatu usaha merangka perjanjian yang mengambil masa paling panjang dalam sejarah manusia” sejak permulaan proses berkenaan dalam tahun 1991, merupakan taktik pemalsuan paling serius yang telah dimainkan oleh junta tentera Myanmar sejak 14 tahun lepas. 

Persidangan Nasional yang kononnya langkah pertama Peta Jalan tujuh-langkah Menuju Demokrasi yang dikemukakan oleh junta berkenaan langsung tidak mempunyai legitimasi atau kredibiliti, samada pada peringkat nasional, serantau atau antarabangsa, memandangkan: 

  • Para perwakilan persidangan yang diadakan dalam bulan Mei lepas telah dilayan sama seperti tahanan dalam rumah dan diancam dengan hukuman penjara 20 tahun sekiranya mengkritik junta tentera berkenaan;
  • National League for Democracy, Shan Nationalities League for Democracy dan Shan State Kokang Democratic Party, semuanya dihalang dari menyertai persidangan berkenaan; di samping itu, parti-parti politik yang memenangi sejumlah lebih 91% dari kerusi parlimen di dalam pilihanraya umum tahun 1990 juga melancarkan gerakan boikot persidangan berkenaan;
  • Satu lagi arus tindakan keras telah diadakan di mana pemimpin-pemimpin NLD seperti Aung San Suu Kyi dan U Tin Oo, diperpanjangkan tempoh tahanan mereka, gerakan penahanan baru yang termasuk Pengerusi Shan Nationalities League for Democracy (SNLD) Hkun Htoon Oo serta lebih dari 1,3000 tahanan politik di dalam negera berkenaan.

Saya mengalu-alukan kenyataan-kenyataan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atas isu ini kebelakangan ini. Perdana Menteri telah berkata di Islamabad bulan lepas bahawa pemerintahan tentera Myanmar perlulah menjelaskan secara lebih mendalam apakah rancangan mereka untuk memulihkan demokrasi di samping menunjukkan ‘tindakan yang jelas” demi  menyakinkan rakan-rakannya di Asia Tenggara sementara Timbalan Perdana Menteri pula menyuarakan harapannya  supaya Myanmar akan melaksanakan pembaharuan demokratik sebelum Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Disember tahun ini. 

Kerajaan Malaysia serta kerajaan-kerajaan ASEAN yang lain haruslah menghormati hak dan peranan Parlimen serta ahli-ahli Parlimen mereka yang berusaha atas rangkaian ASEAN dalam kerja-kerja pendemokrasian di Myanmar serta memastikan bahawa Myanmar tidak akan menjadi satu beban serantau dan antarabangsa bagi ASEAN secara umumnya dan setiap anggota ASEAN secara khasnya, sehingga merosakkan perhubungan di antara badan serantau ini dengan dunia antarabangsa. 

Sejak Kaukus Myanmar Antara-Parlimen ASEAN ditubuhkan di Bengkel Mengenai Demokrasi di Myanmar di Kuala Lumpur anjuran Kaukus Mengenai Demokrasi di Myanmar pada 26-28 November 2004, kaukus-kaukus yang sama telah ditubuhkan di Indonesia dan Negeri Thai, dan kaukus Parlimen Filipina  juga dijadualkan akan ditubuhkan bulan depan. 

Mesej yang jelas harus disampaikan oleh Parlimen Malaysia dan lain-lain Parlimen ASEAN kepada Myanmar serta kerajaan-kerajaan ASEAN lain bahawa sekiranya tidak ujud pendemokrasian yang bermakna di Myanmar, termasuk pembebasan Aung San Suu Kyi dan lain-lain tahanan politik, maka Myanmar tidak berhak mengambil alih sebagai pengerusi ASEAN di tahun 2006. Mesej yang jelas ini harus disampaikan khasnya kepada Menteri-menteri Luar ASEAN yang akan bermesyuarat di Cebu, Filipina awal bulan depan.

(24/3/2005)


* Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang Parlimen